•  Ir. Muhammad Bushro Mat Johor   
  • Ir. Muhammad Bushro Mat Johor
SHAH ALAM - Setelah 33 tahun bersama Umno, bekas Adun Paya Jaras, Datuk Ir. Muhammad Bushro Mat Johor meluahkan rasa kurang senangnya terhadap corak dan amalan politik yang dimainkan Umno Selangor.

Beliau menegaskan, praktis taburan duit yang berlebihan menjadikan pimpinan merebut jawatan bukan untuk berkhidmat kepada rakyat sebaliknya kerana habuan dan imbuhan yang diperoleh.

"Mereka mahukan jawatan kerana agenda peribadi untuk tukar kereta, tambah itu ini. Bila pucuk pimpinan terlalu manjakan mereka dengan memberi imbuhan berlebih-lebihan, jika tak dapat merajuk dan memberontak.

"Mereka berebut nak duit dan bernafsu besar dan sepatutnya seorang pemimpin harus tampil mengambil tanggungjawab berkhidmat kepada masyarakat," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Muhammad Bushro berkata, teguran bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad itu sangat baik namun rombakan 100 peratus tidak boleh dilakukan kerana Umno tertakluk kepada perlembagaan.

"Saranan saya kepada perdana menteri selaku Presiden Umno perlu tegas buat keputusan kali ini, bukan hanya bercakap retorik tanpa bertindak. Beliau perlu menamakan atau mencari seorang pemimpin sama ada di peringkat ketua bahagian mahupun ahli biasa yang mempunyai pengalaman dan boleh diterima semua.

"Sebaiknya Umno Selangor ini diperkukuh dengan gandingan muka baru dan lama yang diyakini rakyat agar impian memenangi pilihan raya akan datang terlaksana," katanya.

Dalam pada itu katanya, parti tidak sepatutnya bertindak menuding jari menyalahkan sesama sendiri sebaliknya duduk berbincang bersama dan pilih pemimpin gantian yang berupaya memacu Umno Selangor ke peringkat yang lebih baik di mata pengundi.

"Saya berpendapat pimpinan yang ada sekarang sudah tepu hal demikian, membuatkan mereka gagal mencipta pembaharuan dan transformasi kepada parti agar diterima rakyat.

"Usah terlalu mengharapkan duit dan peruntukan semata-mata untuk memenangi hati rakyat. Tidak boleh begitu kerana kita telah janji kepada rakyat jadi ia memerlukan pengorbanan," katanya.