mh 370
SHAH ALAM - Pesawat MH370 boleh mendarat di landasan lebih pendek daripada biasa sekiranya memerlukan pendaratan kecemasan mengikut kecekapan juruterbang.

Bekas Pengawal Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Mustapha Kamal Abdul Rahman berkata, apabila ada kecemasan yang memerlukan pendaratan segera, pastinya juruterbang akan cuba mendarat di tempat yang selamat.

Menurutnya, tidak kira di pulau atau di atas jalan, asalkan kawasan sekitar muat untuk pesawat itu  mendarat.

"Setiap pesawat pastinya ada prosedur pendaratan yang disyaratkan agar mengelak sebarang kemalangan.

"Oleh itu, pesawat MH370 yang panjang dan besar perlu mendarat di landasan lebih 11,000 kaki panjang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebolehan pesawat itu mendarat di landasan pendek jika berlaku kecemasan.

Apabila ditanya sama ada pesawat boleh mendarat di landasan yang sudah lama ditinggalkan di beberapa pulau sekitar koridor utara, jawabnya, ia mungkin boleh berlaku asalkan juruterbang pandai mengawal pesawat.

"Tetapi risiko kemalangan kecil memang ada, sama ada terbabas sedikit dari landasan itu atau berlaku ketidakseimbangan ketika pesawat berhenti mengejut," katanya.

Sementara itu, pakar penerbangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Tarmizi Ahmad berkata, risiko terhempas ketika mendarat di landasan pendek memang tinggi.