Seperti yang dijangka, selepas ketua Dewan Pemuda PAS Nasrudin Hassan dan timbalannya Nik Abduh Nik Aziz tidak mempertahankan jawatan dalam pemilihan sayap PAS kali ini, persaingan merebut dua jawatan teratas sayap itu terbuka luas tetapi sengit.

Mahu tidak mahu, Pemuda dan penyokong Pemuda PAS di seluruh negara bakal mendapat ketua dan timbalan yang baru dalam pemilihan dewan itu kali ini, selepas langkah mengejut Nasrudin dan Nik Abduh itu.

Yang pasti, pemilihan kali ini menjadi kayu ukur sama ada calon kepimpinan Pemuda yang baru mampu berdepan dan menangani isu besar untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan Pemuda DAP dan PKR.

Ini ekoran legasi, agenda dan pendekatan sedia menerima kritikan hebat banyak pihak kerana dilihat gagal untuk menyaingi keupayaan Pemuda BN yang juga Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Kedua-dua kumpulan itu kini rancak mencongak dan berkempen bagi memastikan pilihan masing-masing terpilih mengisi kekosongan jawatan itu, termasuk jawatan naib ketua Pemuda pada saat-saat akhir penerimaan pencalonan petang ini.

NONESepanas pemilihan kepimpinan tertinggi PAS Pusat, penentuan calon ketua Pemuda bakal menyaksikan pertembungan antara Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat yang mewakili kumpulan profesional dan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Kamarulzaman Mohamad bagi kumpulan proulama.

Sementara seorang lagi calon ketua Pemuda Zulhazmi Sharif yang turut menawarkan diri dilihat tidak mampu memberi saingan kepada kumpulan ini dan peguam itu sekadar memeriahkan demokrasi dalam pemilihan Pemuda PAS.

'Merakyatkan Pemuda, Memudakan Rakyat'
Zulhazmi juga adalah peguam Kempen Anti-Saman Ekor (Kase) yang tidak mewakili kumpulan tertentu dan membawa tema kempen "Merakyatkan Pemuda, Memudakan Rakyat".