SHAH ALAM – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sedia untuk menjalankan siasatan berkenaan dakwaan mengatakan pihak polis mengenakan tindakan keterlaluan sehingga menyebabkan insiden ganas sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara, Sabtu lalu.
Keperluan inkuiri awam dan terma rujukannya akan diputuskan sama ada hari ini atau esok.
Bagaimanapun, Pesuruhjayanya Suhakam, Mohd Shaani Abdullah berkata, pihaknya perlu meneliti laporan-laporan yang diterima sebelum memutuskan sudut siasatan yang akan dijalankan.
"Kami akan mengadakan mesyuarat esok (hari ini) atau lusa (esok). Inkuiri awam dan terma rujukan mengenai keputusan rasmi suruhanjaya untuk siasatan hanya akan diputuskan pada mesyuarat itu berdasarkan penjelasan tentang apa yang sebenar berlaku pada hari kejadian," kata beliau.